Friday, December 02, 2005

SAMBUTAN PESTA KAAMATAN: PERLUKAN PERSPEKTIF BARU?





SAMBUTAN PESTA KAAMATAN: PERLUKAN PERSPEKTIF BARU?
Oleh
Allan G Dumbong*
“Bulan Lima” merupakan “bulan cuti” dan “bulan keramaian” di Sabah. Apa tidaknya, selain daripada majlis-majlis perkahwinan, Kerajaan juga telah mewartakan beberapa hari pada bulan ini sebagai cuti umum. Sesungguhnya, banyak acara dianjurkan untuk orang ramai bergembira dan bersukaria pada bulan ini. Perayaan utama pada bulan Mei di Sabah ialah tidak lain dan tidak bukan Pesta Kaamatan. Pesta ini bermula pada setiap 1 Mei, di mana dilakukan pelancaran Pesta Kaamatan. Hari tersebut amat signifikan kerana ia merupakan hari cuti awam, sempena “Hari Buruh”. Selepas sahaja dilancarkan maka bergemalah paluan gong di merata tempat di Sabah di mana siri perayaan Kaamatan di semua daerah, dan malah dihampir semua kampung, khusus di mana penduduk majoritinya ialah Kadazandusun.

Setiap Sabtu dan Ahad sudah habis diperuntukkan untuk sambutan perayaan tersebut. Sudah tentunya, acara kemuncak perayaan ini ialah pada 30 dan 31 Mei, yang mana telah diwartakan oleh Kerajaan Negeri Sabah sebagai cuti umum. Pada dua hari inilah sambutan-sambutan kecil di kampung-kampung dan sederhana di daerah-daerah digerakkan ke arah sambutan kemuncaknya di satu pusat tertentu. Di sinilah diadakan acara sukaneka, pameran, pertunjukan tarian, pertandingan “sugandai Kaamatan” dan paluan gong yang tidak terhingga meriahnya. Acara kemuncaknya pula ialah Pertandingan Ratu Unduk Ngadau, di mana gadis-gadis ayu dan jelita Kadazandusun dari semua daerah diketengahkan untuk diadili dari segi keayuan,kesopanan, kecerdasan dan kesergahan pakaian tradisi yang dipakai.Ratu “Unduk Ngadau Kaamatan”, yang mendapat inspirasi dari legenda “Huminundun” (bermaksud “yang berkorban”) akan seterusnya menjadi satu “icon” kebanggaan Negeri Sabah secara keseluruhanya. Jika tradisi budaya Kadazandusun diteliti, gadis Kadazandusun yang bergelar “Unduk Ngadau” ini merupakan “kombura tolundu”, gadis yang “outstanding” di kalangan ribuan gadis atau wanita Kadazandusun. Sebenarnya “Unduk Ngadau”itu berasal dari perkataan “runduk tadau”, yang bermakna “gadis yang dimahkotakan sinaran cahaya matahari”. Ia menggambarkan ciri-ciri seorang gadis jati Kadazandusun yang terserlah kejelitaan, keayuan, kesopanan, kecerdasan, kemuliaan, kekudusannya yang dilihat sebagai “role model” (idola) dan sumber harapan kepada komuniti Kadazandusun secara keseluruhannya. Sesungguhnya, maksud tersirat di sebalik “Unduk Ngadau” itu adalah sama signifikannya dengan gelaran “Huguan Siou” kerana kedua-duanya dilihat sebagai “icon”, idola dan sumber kekuatan masyarakat Kadazandusun.
Beginilah indahnya sambutan Pesta Kaamatan yang dianjurkan setiap tahun, terutamanya sejak Sabah mencapai kemerdekaan pada tahun 1963.Inilah berkat kemerdekaan. Dengan kemerdekaan kini rakyat Sabah merasa selamat dan makmur, dan, dengan suasana aman-damai, mereka sudah tentunya mempunyai masa untuk menganjurkan dan merayakan acara-acara keramaian. Sudah pasti rakyat Sabah semuanya seronok dengan pesta ini yang mana turut menarik perhatian bukan sahaja di kalangan rakyat Malaysia secara keseluruhan tetapi juga dapat menarik ramai pelancong dalam dan luar negeri untuk datang ke Sabah-Negeri di Bawah Bayu untuk menyaksikan keramaian pesta ini. Berdasarkan kepada keadaan ini, masyarakat Kadazandusun juga perlulah berterimakasih dan menghargai sokongan dan bantuan Kerajaan yang selama ini tidak segan-silu memberi pengiktirafan kepada tradisi mulia komuniti ini.
Berbalik kepada istilah “kaamatan”, ia sebenarnya berasal dari perkataan “omot” atau “kotu”, yang seterusnya menjadi “kaamatan” atau “kokotuan”. Sesungguhnya ia menandakan tanda kesyukuran masyarakat Kadazandusun terhadap limpahan kurnia Yang Mahakuasa terhadap hasil tuaian padi pada musim tersebut.Kaamatan ini seringkali dirujuk dan berkisar kepada acara sukaria selepas menuai padi. Ianya berkaitrapat dengan kegiatan sosio-ekonomi “agrarian” komuniti Kadazandusun yang secara tradisinya menaman padi.
Sambil bersukaria dalam Pesta Kaamatan ini, masyarakat Kadazandusun seharusnya mengambil peluang ini untuk merenung tahap kemajuan mereka dalam semua aspek, lebih-lebih lagi dari segi kedudukan sosio-ekonomi dan perniagaan. Jika Kaamatan ini berkisar kepada “penanaman padi”, komuniti Kadazandusun perlulah kritis dan bertanya pada diri sendiri apakah relevannya Kaamatan ini, jika sudah ramai anggota masyarakat Kadazandusun tidak lagi terlibat dalam penanaman padi. Sudah ramai anggota masyarakat ini, khususnya generasi muda, yang tidak tahu istilah-istilah seperti “momorilik”, “mongurak”, “mangasok”, “mananom”, “mangaradu” atau “mongomot”. Berapa ramaikah daripada penduduk Kadazandusun yang dianggarkan berjumlah 600,000 orang di Sabah ini yang masih terlibat dengan kegitan penanaman padi? Bukankah ramai orang Kadazandusun sudah beralih kepada kegiatan-kegiatan lain seperti menanam sayur, “makan gaji” ataupun menjalankan perniagaan-perniagaan lain? Banyak juga tanah yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Tanah dan Ukur kepada masyarakat Kadazandusun untuk maksud pertanian, khususnya penanaman padi. Malangnya, banyak tanah-tanah ini masih ditinggalkan terbiar ataupun telah diubah cara penggunaannya kepada kegiatan-kegiatan lain seperti menjadi tapak pembinaan rumah, bengkel-bengkel, kedai-kedai dsb. Apa yang jelas ialah kawasan tanaman padi sawah semakin hari semakin kecil. Begitu juga dengan penanaman padi bukit yang pada masa ini masih kurang produktif kerana belum menggunakan mekanisasi pertanian yang ekonomik. Ramai generasi muda tidak lagi berkemahiran ataupun berminat untuk bekerja sebagai penanam padi. Jika demikian keadaannya, apakah sebenarnya tujuan kita merayakan Pesta Kaamatan? Adakah Pesta Kaamatan dirayakan semata-mata untuk mengiktiraf signifikan sejarah, kerana ianya dirayakan sejak bertahun-tahun dahulu? Atau adakah masyarakat Kadazandusun merayakannya semata-mata untuk mencari alasan untuk berpesta dan “berarrammaii tii”? Bukankah ini seolah-olah hipokrit jika Kaamatan diraikan secara besar-besaran tetapi pada tahun itu perolehan “hasil tuaian” komuniti tersebut tidak seberapa?
Perlu disedari bahawa kadar sara diri Negeri Sabah dari segi pengeluaran padi pada masa kini berada ditahap kurang daripada 30%, dan selebihnya diimport dari luar negeri. Sistem penanaman padi di Negeri Sabah juga masih berada ditakuk lama di mana kurangnya penggunaan teknologi moden dan tidak hairanlah kenapa pengeluaran padi setiap hektar seringkali tidak melepasi 3.5 tan. Sebenarnya, isu “jaminan makanan” (food security) di Sabah agak membimbangkan, dan mungkin rakyat Sabah akan menghadapi masalah kekurangan makanan dalam tempoh 50 tahun akan datang. Pengeluaran pelbagai makanan di Sabah perlulah ditingkatkan, bukan sahaja untuk kegunaan rakyat tempatan, tetapi jika boleh dieksport ke luar negeri. Soalnya, apakah peranan komuniti Kadazandusun, yang berbangga dengan penuaian padi, dalam membantu kerajaan menghadapi masalah ini?
-persoalan di atas ditimbulkan di sini bukan untuk maksud mempersenda-sendakan perayaan ini. Sebaliknya, persoalan-persoalan di atas perlulah dijawab sekiranya komuniti Kadazandusun mahukan perayaan ini diperkukuhkan dan terus dihormati di masa-masa akan datang. Sebenarnya banyak perkara yang perlu dibuat. Sesungguhnya, perspektif dan cara pemikiran masyarakat Kadazandusun terhadap Kaamatan ini juga perlu diubahsuai dengan realitas dunia semasa. Persoalannya ialah, apakah kegiatan sosio-ekonomi yang perlu di “omot” oleh komuniti Kadazandusun dalam era informasi dan dunia tanpa sempadan ini? Kadazandusuun perlulah mempelbagaikan aktiviti ekonomi mereka, dan pergunakanlah Pesta Kaamatan ini sebagai ruang untuk menilai sejauhmana hasil tuaian dalam semua kegiatan tersebut. Jika kurang, lipatgandakan usaha. Jika sudah berlimpah, bantulah yang masih di belakang.Negeri Sabah amat bertuah kerana dikurniakan oleh Yang MahaEsa dengan kepelbagaian etnik yang mana masing-masing membawa bersama mereka amalan tradisi, norma-norma dan nilai-nilai budaya yang indah dan murni. Setiap etnik boleh mempelajari dari etnik-etnik yang lain.
Sempena bulan baik ini, masyarakat Kadazandusun perlulah mempelajari dan mengambil iktibar daripada masyarakat-masyarakat lain yang menggunakan perayaan-perayaan berteraskan budaya ataupun kepercayaan untuk memperkukuhkan tahap sosio-ekonomi mereka. Contohnya, pada sambutan Hari Raya Aidil Fitri di Malaysia, kita seringkali melihat bagaimana masyarakat Melayu Islam membuat banyak persedian sebelum hari mulia tersebut. Sepanjang bulan Ramadhan, mereka menyediakan beberapa tempat bertemu di mana mereka berjual-beli kuih-muih dan pelbagai jenis makanan tradisi Melayu. Begitu juga dengan masyarakat Cina semasa perayaan Tahun Baru Cina, di mana semasa persedian sambutan, mereka mewujudkan pelbagai peluang-peluang perniagaan. Contohnya, ramai peniaga Cina yang mengambil peluang itu untuk mengimport, mengedar, ataupun menjual limau mandarin. Beberapa hari sebelum perayaan tersebut, masyarakat Cina akan berkumpul dibeberapa tempat untuk saling memperdagangkan barang-barang keperluan untuk sambutan perayaan tersebut. Begitu juga semasa sambutan Pesta Kuih Bulan, di mana ramai usahawan-usahawan Cina membuat dan menjual banyak jenis kuih bulan untuk dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira keturunan dan agama. Kegiatan masyarakat Melayu dan Cina di atas sudah tentunya mendatangkan keuntungan yang lumayan, yang dimungkinkan oleh sambutan perayaan-perayaan mereka. Maka itulah, masyarakat Kadazandusun perlu mencontohi amalan-amalan murni seperti ini, dan mengubahsuai Pesta Kaamatan itu daripada “kaamatan”(kesyukuran selepas menuai) kepada “mongomot toririmo”(penuaian yang berterusan). Maksudnya, masyarakat Kadazandusun perlulah bijak mempergunakan kesempatan semasa pesta ini untuk berjual beli, dan melipatgandakan hasil jualan pada bulan tersebut. Jadi dalam perayaan Pesta Kaamatan, sepatutnya kaum Kadazandusun juga perlu mengambil iktibar bahawa masa ini bukanlah satu masa untuk ramai-ramai semata-mata, tetapi banyak perkara perlu dibuat.
Masyarakat Kadazandusun perlulah yakin untuk memperkenalkan produk-produk keluaran mereka. Produk dan perkhidmatan yang boleh ditawarkan dan diketengahkan secara agresif termasuklah kraftangan, kuih-muih, masakan dan minuman, pakaian tradisi, peralatan permainan dan musik tradisi, buku-buku, lencana-lencana, poster-poster, lagu-lagu dalam kaset/CD,hasil-hasil pertanian dan perikanan. Mereka juga boleh menyediakan pelbagai perkhidmatan. Contohnya, artis-artis atau seniman/seniwati Kadazandusun boleh membuat perancangan strategik di kalangan mereka dan memikirkan bagaimana mereka dapat memeriahkan pesta ini secara kolektif dan dalam masa yang sama kepakaran dan sumbangan mereka itu dapat menghasilkan pendapatan yang lumayan. Adalah dipercayai bahawa beberapa acara Kaamatan itu boleh dikontrakkan kepada pihak-pihak tertentu, terutama yang melibatkan “event management”.Mungkin ramai yang berkata dan berhujah bahawa semua di atas telahpun dibuat. Memang diakui bahawa kesemua di atas sedang dibuat. Malah di beberapa pesta kaamatan di kampung di sepanjang 2 minggu pertama bulan Mei, 2002, telah dianjurkan “Pesta Jualan Kaamatan”. Ini memang membanggakan. Masalahnya, produk-produk keluaran dan perkhidmatan yang disediakan pada ketika ini masih terlalu kurang, dan seringkali tahap kualiti barangan tersebut dipertikaikan. Mungkin sudah sampai masanya bagi kaum Kadazandusun untuk memikirkan secara serius persedian-persedian yang perlu dibuat di pesta-pesta kaamatan di tahun-tahun akan datang supaya komuniti ini sentiasa aktif “mongomot”.
Aspek pembangunan sosio-budaya dan ekonomi ini memang tidak dapat dipisahkan dengan sambutan Kaamatan ini. Maka itulah sebabnya kenapa masyarakat Kadazandusun perlu merenung dan memikirkan sedalam-dalamnya tradisi turun temurun mereka. Masyarakat Kadazandusun perlu sedar “dari mana mereka datang”dan “ke mana arah tujuan” di masa hadapan. Sudah sampai masanya masyarakat Kadazandusun menyemai perpektif, paradigma dan cekerawala pemikiran (worldview) baru supaya peranan dan sumbangan mereka sebagai satu etnik terbesar di Sabah dapat dimanfaatkan ke arah pembangunan negara bangsa. Dalam apapun perancangan, masyarakat Kadazandusun mestilah rajin, cekal, proaktif, berinisiatif dan kreatif dalam pendekatan mereka. Justeru itu, peranan insitusi-institusi Kadazandusun, seperti Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) amatlah penting dalam menyediakan ruang serta membimbing masyarakat ini ke arah meningkatkan taraf hidup mereka. Secara umumnya, masa depan masyarakat Kadazandusun tetap akan cerah dan gemilang dengan syarat setiap anggota perlu sedar dengan peranan dan tanggungjawab masing-masing serta berkemampuan membuat perancangan strategik secara kolektif dan bersatupadu.
“Kotobian Tadau Tagazo Kaamatan”


* Gundohing Allan G Dumbong adalah seorang penganalisis sosio-budaya, politik dan ekonomi di Sabah. Pada masa ini beliau merupakan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Merangkap Pengerusi Pergerakan Pembangunan Belia Kadazandusun, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah.

No comments: