Monday, May 25, 2009

PERANAN BOBOHIZAN DLM UPACARA "PAPASAAKOI BAMBAAZON" MASYARAKAT KADAZANDUSUN PAPAR

Oleh:
MONICA GUALIN
DPA, UiTM, BiM (Hons) OUM


Bobohizan merupakan gelaran bagi bomoh wanita dalam tradisi kebudayaan Kadazandusun. Bobohizan memain peranan penting dalam perayaan Tadau Kaamatan bagi upacara penyembahan di tapak tanaman untuk memastikan hasil tanaman bertambah pada tahun-tahun akan datang. Bobohizan pertama dipercayai diajar oleh jelmaan semangat Huminodun, iaitu Unduk Ngadau, dan jampi serapah itu diamalkan sehingga sekarang.

Bagi masyarakat etnik Kadazandusun Papar upacara ini dipanggil “Papasaakoi Bambazon”. Menurut kepercayaan masyarakat ini, mereka melakukan upacara ini supaya tanaman padi mereka beroleh hasil yang lumayan.

Menurut En. Fedelis @ Mole Gimbul, berumur 82 tahun dan mantan Ketua Kampung Penampang Baru, Papar upacara ini mereka lakukan bermula dari penanaman padi (“Mubuu’at”).

“Mubuu’at” adalah proses permulaan penanaman padi samaada padi di sawah mahupun di bukit. Sebelum “Mubuu’at” di lakukan, Bobohizan akan berkomunikasi dengan semangat padi dengan mengucapkan “rinait” untuk membolekan benih padi yang akan ditanam sentiasa subur sehinggalah padi tersebut menghasilkan buah. Bobohizan akan membuat 7 lubang lalu menanam benih padi sebagai “Ponimpuu’nan”. Sementara menunggu benih padi tersebut bercambah dan sedia untuk ditanam di sawah maka kerja-kerja pembajakan sawah akan dilakukan oleh semua petani. Satu upacara akan dilakukan di sawah oleh Bobohizan di mana Bobohizan akan mengambil tanah di tepi sawah lalu dibawa balik ke rumah dan akan dibungkus dengan kain hitam. Menurut kepercayaan masyarakat ini dengan berbuat demikian tanah yang dibajak akan sentiasa subur untuk menghasilkan padi.

Sesudah padi tersebut sedia untuk berbuah, yang masyarakat di sini namakan sebagai padi bunting, satu lagi upacara akan dilakukan di tengah-tengah sawah yang mereka namakan sebagai “Monsuu’ung” . Upacara ini akan dibuat oleh berberapa orang Bobohizan sambil mengucapkan mentera di sekeliling hidangan dipanggil “Tabu” .

Bahan-bahan “Tabu” yang wajib dihidangkan adalah seperti;
i) “Hiniopot” (nasi yang di bungkus dengan daun tarap)
ii) Ayam jantan
iii) “Sinakapu” (Tapak sirih-kapur yang lengkap)
iv) Tebu
v) Halia merah
vi) Tapai
vii) Telur
viii) Beras
Mereka percaya bahawa dengan menghidangkan pelbagai bahan “Tabu” seperti yang dinyatakan di atas maka semua makluk perosak tidak akan mengganggu tanaman padi mereka sehinggalah padi tersebut masak dan sedia untuk dituai.

Sesudah padi masak dan sedia untuk di tuai sekali lagi Bobohizan akan turun ke sawah untuk mengucapkan “rinait” sebelum upacara “Mengomot” dijalankan. Bobohizan akan mengambil 7 tangkai padi yang berisi dan 7 tangkai padi yang tidak berisi. Pada masa yang sama Bobohizan akan mengambil bambu untuk membuat “Bombon”. “Bombon” akan dibuat secara bersilang dan akan diikatkan di rumpun padi. Rumpun padi yang telah diikat tidak boleh diganggu oleh sesiapapun sehinggalah semua padi selesai dituai. Tujuh tangkai padi yang berisi tadi akan dioles dengan minyak kelapa lalu dibawa pulang ke rumah untuk diletakkan di atas “angkob”, tempat menyimpan padi.

Bermula dari awal proses “Mubuu’at” sehinggalah ke acara “Mengomot” kita melihat bagaimana bobohizan berperanan penting dalam berkomunikasi dengan semangat padi. Dengan adanya bacaan-bacaan “rinait” yang mereka ungkapkan maka tidak hairanlah bagaimana nenek moyang kita dapat menghasilkan padi yang banyak tanpa sebarang gangguan daripada makluk perosak.


Nota: Artikel ini dijangka dimuatkan dalam Buku Cenderakenangan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2009. Foto-foto yang berkaitan akan dimuatkan kemudian.

No comments: