Wednesday, January 25, 2006

KAAMATAN SABAH 2006

SAMBUTAN PESTA KAAMATAN SABAH 2006
(Siaran Media Timbalan Ketua Menteri/ Menteri Pembangunan Luar Bandar
25 Januari 2006


KOTA KINABALU: Kota Marudu akan menjadi tuan rumah Pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri tahun ini yang akan dirasmikan Ketua Menteri Sabah Datuk Musa Hj. Aman 1 Mei depan.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan berkata Pesta Kaamatan yang mengambil tema “Together For A Good Harvest” akan diperkaya dengan beberapa acara tambahan bertujuan memupuk perpaduan pelbagai kaum di samping sebagai produk pelancongan penting di negeri ini.
“Semua daerah perlu mengadakan Pesta Kaamatan selewat-lewatnya 21 Mei bagi memudahkan persiapan-persiapan kemuncak Pesta Kaamatan di Hongkod Koisaan 30 dan 31 Mei,” kata Pairin ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pesta Kaamatan Peringkat Negeri di Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Sembulan pagi ini (25 Jan- 9.30am).
Mesyuarat itu dihadiri semua Pegawai Daerah/ Penolong Pegawai Daerah, jabatan-jabatan berkaitan dan wakil Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) diketuai Timbalan Presiden Datuk Dr. Jeffrey Kitingan.
Menurut Pairin sebagai acara tambahan, rumah-rumah tradisi di Hongkod Koisaan diminta mengadakan pertunjukan ciri khas tradisi daerah masing-masing di halaman rumah tradisi untuk menonjolkan variasi budaya sebagai bahan untuk dilihat dan dipelajari oleh para pengunjung.
Pada waktu yang sama, Pairin menerima beberapa cadangan lain seperti menggalakan pusat membeli-belah memainkan lagu-lagu Kaamatan sepanjang musim perayaan serta mengadakan “Nogungan Kaamatan” bagi membawa mesej kepada masyarakat umum bahawa Kaamatan tiba lagi.
Turut dipersetujui ialah Pegawai Daerah akan menjadi pengerusi penganjur Kaamatan Peringkat Daerah, manakala menteri atau wakil rakyat di kawasan berkenaan menjadi tetamu kehormat merasmikan Kaamatan.
Sementara itu Sugandoi Kaamatan akan dikendalikan jawatankuasa di bawah KDCA, manakala Unduk Nagadau akan dikendalikan bersama oleh KDCA dan Yayasan Huminodun. Pembantu Menteri Perkhidmatan Sosial dan Hal Ehwal Pengguna, Jornah Mozihim dilantik sebagai Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pelaksana Unduk Ngadau. Jawatankuasa Induk hari ini juga telah memutuskan jadual perayaan Kaamatan di setiap daerah.
Source: Henry Bating, 25/1/2006

No comments: