Wednesday, May 21, 2008

DIANA: ARTIS KELAHIRAN SUGANDOI KAAMATAN



Oleh Allan G Dumbong


Sambutan Perayaan Pesta Kaamatan pada tahun 2008 ini telah diserikan dengan kemunculan album “Diana” oleh seorang artis bernama Diana. Beliau merupakan seorang artis Kadazandusun yang sedang mula meningkat naik, khususnya selepas memenangi beberapa pertandingan Sugandoi Kaamatan yang dianjurkan oleh Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) Sabah.
Diana, atau nama sebenar Diana @ Dyamphana Stephen Tuning,yang berasal dari Kg Lintuhun, Tambunan merupakan seorang artis yang serba boleh. Bukan sahaja beliau boleh menyanyi tetapi juga boleh memainkan beberapa alat musik seperti flute, piano, keyboard, drum dan percussion. Beliau pernah menganggotai Kumpulan Okestra Jabatan Pendidikan Sabah, Kumpulan Okestra UMS dan KOISAAN Orchestra. Beliau memiliki vocal “alto”. Dari segi pendidikan, Diana sebenarnya memiliki Ijazah BA (Music Studies) dari Universiti Malaysia Sabah.


Dengan kemahirannya tersebut,Diana telah merakamkan album DIANA Volume 1 pada tahun 2006 di Studio D'EQ milik produser dan guru musik yang terkenal di Sabah, Andrew Poninting @ Apai. Awal tahun 2008 ini, album Diana telah siap sepenuhnya dan kini rancak dipromosikan di perayaan Pesta Kaamatan seluruh Sabah. Antara lagu menarik yang dimuatkan dalam album ini ialah “Igitan Ku Gisom Kapatayon”, “Duo Nosili Do Iso”, “Kalangadan Montok Di Ama” dan “Siou Dika”. Lagu yang sesuai dengan sambutan Pesta Kaamatan ialah “Tadau Do Karamaian”.
Sebenarnya, Diana mula aktif menyanyi sejak di sekolah menengah lagi, dan pertama kali beliau memasuki pertandingan di peringkat antara sekolah,terus memenanginya. Pada tahun 1991, Diana telah menyertai dan terus menjadi Johan Sugandoi Peringkat Daerah Tambunan. Pada tahun 2005, semasa membuat praktikal di Kuala Lumpur, beliau telah menyertai Pertandingan Sugandoi Kaamatan Peringkat Klang Valley. Dengan kemenangan tersebut, Diana telah mewakili KDCA Klang Valley untuk bertanding di Sugandoi Kaamatan Peringkat Negeri di mana beliau menjadi Naib Johan serta memenangi gelaran "Penyanyi Paling Popular" melalui undian penonton.


Dengan kemenangan Diana di pertandingan Sugandoi Kaamatan, kemunculan album sulung serta penglibatannya dalam pendidikan musik, sudah pastinya Diana merupakan salah satu aset kepada KDCA dan masyarakat Kadazandusun secara umumnya. Sebagai seorang yang seringkali dijemput mengadili pertandingan Sugandoi, termasuklah Sugandoi Dazanak dan Sugandoi Kaamatan, Diana kini terlibat secara langsung dalam usaha memajukan industri musik Kadazandusun serta dalam usaha melahirkan lebih ramai bakat-bakat muda untuk tampil ke hadapan.


Selaras dengan jiwa pendidik, Diana telah menubuhkan sebuah sekolah muzik di Daerah Penampang, D'Angels' Music & Education Centre, yang bertujuan untuk memberi pendidikan musik secara formal kepada belia-beliawanis tempatan. Bagi beliau, anak-anak muda Kadazandusun yang ingin menceburi bidang seni suara dan musik mestilah membuat perancangan dan persedian rapi dari segi fizikal dan mental dan bukan sekadar menganggapnya sebagai sesuatu yang hanya digunakan untuk mengisi masa lapang semata-mata.


Sesiapa yang berminat untuk mendapat pendidikan vokal dan alat-alat musik, mereka bolehlah menghubungi Diana di D'Angels' Music & Education Centre di Lot 4 & 5, Top Flr, Donggongon Point, Penampang (Tel:088-731971/5).


No comments: