Wednesday, May 21, 2008

PERGERAKAN BELIA KADAZANDUSUN KDCA MENYOKONG PENUH PERJUANGAN STACY AF6


KENYATAAN AKHBAR

Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) Sabah memang prihatin dengan aktiviti-aktiviti dan perkembangan belia-beliawanis Kadazandusun baik di mana mereka berada. Salah satu aktiviti yang biasa diceburi oleh belia-beliawanis Kadazandusun ialah bidang seni suara. Ramai yang telah menceburkan diri dalam bidang ini baik dalam mengikuti pertandingan-pertandingan nyanyian, mencipta dan merakam lagu-lagu ataupun membuat persembahan-persembahan untuk santapan orang ramai.

Perkembangan terkini yang hangat dibicarakan di kalangan peminat seni-suara dan musik tempatan ialah penyertaan Sdri Stracie Angie Anam (atau lebih dikenali sebagai “Stacy”), gadis berumur 18 tahun yang berasal dari Kg Topokoon Tamparuli/Kg Tuavon Penampang, di Akademi Fantasia 6, anjuran Astro. Sesungguhnya, Pergerakan Pembangunan Belia Kadazandusun KDCA juga mengikuti perkembangan ini dengan begitu bangga sekali. Apa tidaknya, Stacy merupakan satu bakat muda yang telah menunjukkan prestasi yang sangat memberangsangkan di Konsert Akademi Fantasia yang diadakan setiap minggu. Persembahan vokal beliau yang begitu mantap serta versatility dalam membawakan pelbagai rentak lagu yang diberikan telah menambat hati bukan sahaja di kalangan tenaga pengajar AF tetapi juga di kalangan orang ramai yang mengikuti rancangan tersebut.

KDCA amat merasa bangga dengan kejayaan belia-beliawanis Kadazandusun dalam rancangan-rancangan realiti televisyen sehinggakan mereka dikenali ramai dan mendapat pelbagai peluang dalam membina kerjaya seni. Ini termasuklah Sdri Linda Nanuwil, Sdra Felix Agus, Sdri Marsha Landoh, Sdri Velvet, Sdra Lotter Petrus Edwin, Sdra Rich Lawrence, Sdri Candy dan kini Sdri Stacy Anam. Selain daripada itu, Sdra Reynaldo Pegi yang merupakan salah seorang bintang kelahiran Sugandoi Kaamatan Anjuran KDCA juga telah mencipta nama apabila menjadi Johan Suara Emas Bintang RTM tahun lalu. Kesemua ini menggambarkan hakikat bahawa ramai belia-beliawanis Kadazandusun yang amat berbakat dan mempunyai semangat juang yang tinggi demi memajukan diri sendiri, membela nasib keluarga serta mengangkat martabat komuniti mereka.
Memandangkan Konsert Akhir Akademi Fantasia akan diadakan pada hari Sabtu (24/5/08) ini, saya bagi pihak KDCA, ingin mengajak orang ramai, khasnya masyarakat Kadazandusun di seluruh Malaysia, supaya memberi sokongan teguh terhadap perjuangan Sdri Stacy Anam ini. Kita berkeyakinan bahawa Sdri Stacy pasti akan dapat membuat persembahan yang lebih mantap di konsert akhir itu dan peluangnya untuk dinobatkan menjadi Johan AF6 ini begitu cerah sekali.

Kejayaan beliau ini pasti akan memberikan inspirasi, contoh dan semangat kepada belia-beliawanis Kadazandusun yang lain untuk mengetengahkan bakat-bakat mereka kelak. Keserian Sambutan Pesta Kaamatan 2008 juga pastilah akan lebih terserlah dengan kejayaan Sdri Stacy ini.


Sekian, terima kasih.
Allan G Dumbong
Pengerusi, Pergerakan Pembangunan Belia Kadazandusun / Ahli J/Kuasa KDCA Pusat
Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) Sabah

No comments: