Monday, August 14, 2006

PERSEMBAHAN ARTIS-ARTIS KADAZANDUSUN AF "MALATOP"

FANTASIA TOUR 2006:
PERSEMBAHAN ARTIS-ARTIS KADAZANDUSUN "MALATOP"!
Oleh
Allan Dumbong

Di dalam siri Fantasia Tour 2006 di Sabah, artis-artis Kadazandusun yang bernaung di bawah Maestro Talent Management Sdn Bhd, sangat menyerlah dan, ramai yang berpuashati kerana bagi mereka persembahan artis-artis baru ini sangat "MALATOP!".
Artis-artis yang dimaksudkan ialah Felix Agus, Marsha Londoh, Velvet Lawrence Aduk, Richael L. Gimbang dan Lotter P. Edwin. Selain daripada artis-artis Kadazandusun ini, mereka juga turut diserta oleh Nordawati Daud, salah seorang lagi pelajar Akademi Fantasia kelahiran dari Sandakan.
Dalam siri Fantasia Tour 2006 ini, artis-artis ini telah di bawa oleh Penganjur, iaitu Maestro Talent Management Sdn Bhd dan Timagos Event Management, ke Beaufort, Keningau, Penampang dan Sandakan. Dalam konsert di Dewan Pak Musa Beaufort pada 12/8/2006, sambutan sangatlah hebat di mana terdapat lebih kurang 2,000 orang telah datang menyaksikan konsert tersebut. Ini tidak hairan kerana dipercayai peminat-peminat kuat Lotter, yang berasal dari Membakut, telah datang berpusu-pusu. Pada konsert di Keningau, ianya telah diadakan di Kompleks Sukan Keningau. Dengan tiket RM16.00, kompleks itu telah dibanjiri. Ada yang menganggarkan kehadiran itu di antara 8,000-10,000 orang penonton. Di Hongkod Koisaan pada 14/8/06, konsert itu telah dihadiri oleh lebih kurang 2,000 orang penonton. Malam ini akan di adakan di Dewan Hakka, Sandakan.
Apa yang nya di dalam konsert ini ialah betapa artis-artis Kadazandusun kelahiran Akademi Fantasia begitu menyerlah sekali. Felix yang merupakan Naib Juara AF3 mendapat sambutan yang gemuruh. Ramai yang tidak tahu bahawa selepas mengikuti AF3, Felix telah membuat show di mana-mana termasuk melawat ke India demi untuk membangunkan bakat seninya. beliau juga dalam proses menyiapkan album sulungnya, yang turut memuatkan lagu Kadazandusun (bertajuk "Ganit Piginawaan" ciptaan George Lian dan Sham Kamikaze). Yang lebih hebat lagi, Felix telah dicalonkan untuk kategori Vokal Terbaik dan Artis Harapan 2006 oleh Radio Era.
Lotter P. Edwin yang juga menjadi Naib Juara AF4 juga tidak ketinggalan. Peminat beliau begitu ramai sekali, dan versatilitinya dalam nyanyian serta jenakanya begitu mencuit perasaan para peminat dan penyokong.
Marsha (AF3) dan Velvet (AF5) juga tidak kurang karisma mereka dalam nyanyian dan persembahan. Begitu juga dengan Rich dan Nora.
Bukan sahaja mereka dapat menyanyikan lagu-lagu Melayu tetapi juga boleh menyanyi lagu Inggeris dan Kadazandusun, baik yang berentak perlahan, rancak mahupun kontemporari.
Secara ringkasnya, artis-artis Kadazandusun ini memang "malatop", dan memang sedang "menuju puncak kejayaan". Adalah diharapkan agar mereka akan terus maju dan dapat menyumbang kepada perkembangan seni musik tanah air di samping dapat mengetengahkan lagu-lagu Kadazandusun. Lagu-lagu Kadazandusun ini nampaknya semakin mendapat liputan dan sambutan di peringkat kebangsaan. Antara lagu-lagu yang menarik ramai peminat ialah "Christina" oleh Francis Landong, "Jambatan Tamparuli" dari Justin Lusah dan "Taragang Rasuk" oleh John Gaisah. Nikki, seorang peserta Malaysian Idol, juga telah merakamkan sebuah lagu Kadazandusun (bertajuk "Sunudai Oku") dalam album sulungnya, Maharani.
Semoga perjalan mereka ini akan diberkati, dan semoga mereka tidak melalui ranjau dan duri yang boleh menjejaskan nama baik mereka secara peribadi, mahupun keluarga, mahupun masyarakat kadazandusun secara umumnya.

No comments: