Thursday, July 27, 2006

SEPAK MANGGIS KOTA BELUD

Penulis mencuba sepak manggis

Pengantin lelaki merasmikan sepak manggis

Foto: Julius Ebin, 2006

"SEPAK MANGGIS":
SUKAN TRADISI WARISAN DUSUN-BAJAU DI KOTA BELUD
Oleh
Allan Dumbong

Baru-baru ini saya telah menghadiri satu Majlis Perkahwinan di Kg Tempasuk 1, Kota Belud. Di Majlis tersebut, ada diperkenalkan satu sukan tradisi yang dipanggil "Sepak Manggis".
Sepak Manggis adalah satu sukan tradisi yang diadakan semasa pesta karamaian, seperti majlis perkahwinan. Dalam majlis perkahwinan, sepak manggis ini akan diadakan di kawasan lapang berhampiran dengan rumah pengantin. Permainan ini melibatkan satu tiang yang diperbuat daripada bambu. Bambu itu dipacakkan di atas tangga dengan ketinggian lebih kurang 25 kaki. Di atas bambu tersebut, diperbuat satu pacak yang menggantung satu kotak yang dihiasi dengan kain/kertas berwarna warni. Di dalam kotak itu, dimasukkan hadiah menarik, yang biasanya berupa wang ringgit. Permainan ini dimainkan dengan seorang menendang bola "sepak takraw" yang diperbuat daripada rotan dengan menendang cara bermain sepak takraw. Bezanya ialah bola itu akan ditendang ke atas, dan sasarannya ialah kota berwarna-warni yang mengandungi wang hadiah di atas.
Sebelum dimainkan permainan ini, mempelai lelaki dan perempuan akan merasmikannya dengan berjalan mengelilingi tiang bambu itu, bersama-sama dengan pengapit-pengapit mereka sebanyak tujuh (7) kali. Ini akan diikuti dengan pengantin lelaki itu sendiri akan menendang bola takraw itu, yang dibalingkan oleh pasangan/isterinya. Percubaan boleh dibuat sebanyak tujuh (7) kali. Ini sekaligus dapat menarik perhatian orang ramai dan menandakan bahawa permainan sepak manggis ini telah bermula.
Peraturannya ialah agak terbuka. Sesiapa sahaja boleh menyertainya walaupun kaum wanita agak keberatan untuk menyepak bola tersebut. Pun begitu, adat istiadat mahukan supaya kanak-kanak yang kecil memulakan, dan kemudiannya diikuti oleh remaja, dan akhirnya orang dewasa. Selepas itu, ia terbuka kepada sesiapa sahaja. Sesiapa yang menendang bola itu dan berjaya mengenakan sasaran kota berwarna-warni, maka dialah yang akan mendapat hadiah tersebut. Oleh kerana tiang bambu itu tinggi, maka adalah agak sukar bagi mereka untuk menepati sasaran. Permainan ini boleh dibuat sepanjang hari, sehinggalah ada yang berjaya menepati sasaran. Hadiahnya agak lumayan dan biasanya hadiah itu disediakan oleh pengantin lelaki. Adalah dipercayai pada Majlis Perkahwinan di Tempasuk 1 itu, hadiahnya berupa wang tunai sebanyak RM1,000.00.
Permainan sepak manggis ini adalah sukan tradisi warisan masyarakat Kadazandusun Tindal dan Bajau yang tinggal berhampiran. Budaya kedua-dua masyarakat ini telah diadunkan dan permainan sepak manggis ini diwujudkan sebagai satu acara memeriahkan suasana sambil memupuk semangat persaudaraan dan perpaduan.
Sukan ini adalah sangat menarik dan mempunyai unsur-unsur budaya yang simbolik. Ianya harus diteruskan, dipromosi dan diwarisi oleh generasi muda, baik masyarakat Kadazandusun mahupun masyarakat Bajau.

3 comments:

X Gabing said...

allan, i just found out abt this great article on the sipakmanggis -- and yes, as seen in that photo, i did not manage to hit them -- thats for the guests to do and to have fun :-)

thanks for attending the wedding. more photos at http://zenoed.com/traditional/

kopisanangan.

cencalok said...

di mana kau tingu org kahwin tu kawan.mau kenal juga bah nama pengantin lelaki dia daa..

cencalok said...

faham ja lah jarang2 balik kpg ni.adik saya pun mau kahwin juga 12hb ni di tempasuk juga tapi area wokok..kalau sudi,datang saja kawan..